Wirid Sebagai Medium Pemurnian Tauhid: Analisis Tasawuf Sunni dalam Lam’atu al-Aurad [Wirid as a Medium for Purifying Tauhid: An Analysis of Sunni Tasawuf in Lam’atu Al-Aurad]
Keywords:
Tasawuf Sunni, Wirid, Tauhid Amali, Pemurnian Tauhid, Lam’atu al-AuradAbstract
Tasawuf dalam tradisi Islam berfungsi sebagai disiplin penyucian jiwa yang bertujuan memperkukuh kesedaran kehambaan dan penghayatan Tauhid. Namun, dalam perbincangan akademik semasa, wirid sering dilihat sebagai amalan ritual rohani, manakala Tauhid dibincangkan secara teoretikal dalam kerangka ilmu kalam. Keadaan ini menyebabkan hubungan antara wirid dan pemurnian Tauhid kurang diberi perhatian. Artikel ini menganalisis peranan wirid sebagai medium pemurnian Tauhid dalam tasawuf Sunni melalui kajian terhadap Lam’atu al-Aurad. Kajian menggunakan pendekatan kualitatif berasaskan analisis kandungan teks dengan meneliti lafaz-lafaz wirid terpilih dan menghubungkannya dengan dimensi Tauhid Ahli Sunnah, iaitu Tauhid al-Af’al, al-Sifat dan al-Zat. Hasil analisis menunjukkan bahawa susunan wirid dalam karya tersebut secara konsisten menegaskan pergantungan mutlak kepada Allah, pengiktirafan terhadap sifat-sifat kesempurnaan-Nya serta pendekatan tanzih dalam memahami keesaan Tuhan. Dapatan ini membuktikan bahawa wirid berfungsi sebagai mekanisme tashih al-iktiqad yang membersihkan syirik khafi dan membina kesedaran Tauhid secara amali. Kajian ini turut mengemukakan konsep tauhid amali, iaitu penghayatan Tauhid yang dibentuk melalui amalan rohani berulang sehingga menjadi asas keyakinan dan kehambaan dalam kehidupan seharian.












