Ketokohan Haji Hasan Musa dalam Seni Tarannum di Malaysia dan Kaedah Tilawah al-Quran al-Lahjah al-Arabiyyah
Keywords:
Ketokohan, Tarannum, Qari, TilawahAbstract
Haji Hasan bin Musa seorang tokoh qari yang sangat terkenal di Malaysia bahkan di Nusantara amnya. Beliau amat pakar dalam seni bacaan tarannum al-Quran terutama dalam aspek bacaan berlahjah 'Arabiyyah. Kekuatan dan keistimewaan itu melonjakkan namanya sebagai kalangan qari yang berpegang dengan prinsip bacaan berlahjah kearaban menurut hukum hakam tajwid dan usul riwayat. Tujuan kajian ini adalah untuk menganalisis bacaan tarannum yang diaplikasikan oleh beliau yang merangkumi aspek maqam lagu, tabaqah suara dan al-waqf wa al-ibtida’. Kajian ini adalah kajian kualitatif yang mengumpul data daripada analisis dokumen dan temu bual. Analisis data pula dilakukan melalui pendekatan deskriptif. Hasil kajian mendapati bahawa kaedah tilawah yang dilaksanakan dalam surah al-Qiyamah, juz 29: 1-6 dan surah al-Kahf, Ayat 1-16 menemukan penerapan bacaan berlahjah arabiyyah merangkumi aspek maqam lagu berirama Misri, penyesuaian tabaqah suara mengikut makna ayat, wakaf lagu berdasarkan kaedah al-waqf dan ibtida'. Implikasi kajian adalah gaya bacaan al-lahjah al-'arabiyyah memberi kesan terhadap seni bacaan tarannum itu.