Kepelbagaian Perisikan Era Nabawi
Keywords:
Espionaj, perang konvensional, taktik perang, operasi perang, pengintipan dan peninjauanAbstract
Sistem perisikan ialah elemen kekuatan tempur terpenting sesebuah ketumbukan angkatan tentera. Kemampuan mengakses maklumat musuh dapat memberi kelebihan untuk mencapai objektif dalam peperangan dan mengurangkan risiko kekalahan. Oleh yang demikian, Rasulullah SAW mengambil cakna penyampaian maklumat yang tepat melalui sumber perisikan dan seterusnya membuat analisis sebelum membuat sebarang keputusan. Meskipun Rasulullah SAW berhadapan dengan kaum Quraysh yang mempunyai kelebihan dari aspek kekuatan anggota dan persenjataan, namun Rasulullah SAW berjaya menyaingi mereka dengan kepelbagaian perancangan perisikan yang gagal ditelaah oleh pihak Quraysh. Justeru, objektif kajian ini adalah untuk meneliti kepelbagaian perisikan Rasulullah SAW dalam usaha mengekang tindakan subversif mushrikin Quraysh. Penulisan ini bersifat kajian kualitatif dengan pengaplikasian reka bentuk kajian sejarah dan analisis kandungan. Kajian ini menggunakan metode dokumentasi sebagai kaedah pengumpulan data dengan memfokuskan pada beberapa sumber primer dan juga sekunder. Manakala bagi kaedah analisis data, kajian ini menggunakan pendekatan deskriptif menerusi analisis kritikan dalaman dan kritikan luaran. Dapatan kajian ini menghujahkan bahawa Rasulullah SAW berjaya meletakkan penanda aras dalam pembangunan sistem perisikan serta strategi risik balas dalam menggagalkan perbuatan subversif pihak musuh. Di samping itu juga, kajian ini menobatkan Rasulullah SAW sebagai komander perang terunggul dalam mendepani aktiviti perisikan walaupun tanpa latihan ketenteraan secara formal. Sumbangan kajian ini dapat membantu para pengkaji sejarah ketenteraan Islam agar lebih memahami sistem perisikan yang dizahirkan oleh Rasulullah SAW.