Kepentingan Memberi Salam dan Etika Berpakaian Menurut Islam
Keywords:
salam, etika, fiqh, pakaianAbstract
Islam telah menetapkan hukum pergaulan sesama manusia dengan jelas terutama antara lelaki dan wanita bagi memelihara keharmonian hidup mereka sendiri. Kajian tentang adab-adab memberi salam dan cara berpakaian menurut Islam dilakukan adalah berdasar kepada budaya sosial dalam masyarakat khususnya kalangan pelajar yang tidak menitikberatkan amalan-amalan mulia seperti adab memberi salam dan gaya berpakaian yang lari dari landasan agama Islam. Adakah permasalahan tersebut disebabkan oleh pelajar masih lagi kurang memahami hal berkaitan salam dan cara sebenar dalam berpakaian menurut Islam sehingga menyebabkan berlakunya pelanggaran batas akhlak pelajar dalam pergaulan mereka. Justeru, objektif kajian ini ialah perlunya membuat penyelidikan pandangan fuqaha’ tentang pergaulan dalam Islam khusus kepada adab memberi salam dan etika berpakaian. Metode kajian kepustakaan dipilih bagi melihat pandangan fuqaha’ dalam perkara memberi salam dan soal berpakaian menurut fiqh Islami. Hasil kajian ini mendapati bahawa adab-adab memberi salam dan cara berpakaian menurut Islam sudah jelas dan lengkap serta relevan diamalkan sepanjang masa termasuk dalam era globalisasi ini. Islam adalah agama yang menitikberatkan pergaulan yang mesra dan mementingkan penjagaan maruah seseorang seperti dalam penjagaan aurat antara sesama insan. Penghayatan terhadap amalan mulia ini akan dapat menghindarkan diri dari terjebak dalam kancah pergaulan bebas yang membawa kepada kerosakan dan kemurkaan Allah SWT. Implikasi kajian adalah perlunya sesebuah organisasi terutamanya peringkat sekolah membuat penambahbaikan bagi mendidik para pelajar untuk menghayati amalan tersebut sesama warga sekolah. Seterusnya nanti amalan tersebut akan berkembang dalam kehidupan bermasyarakat.