Aliran Masuk FDI, Pembangunan ICT, Penguasaan Bahasa Inggeris dan Inovasi: Analisis di Negara Muslim
Keywords:
Aliran masuk FDI, inovasi, ICT, Penguasaan Bahasa Inggeris, Negara MuslimAbstract
Pembangunan ekonomi jangka panjang di negara Muslim berkemungkinan terjejas jika aspek inovasi kurang ditekankan. Inovasi yang merangkumi proses pengetahuan dan idea menjadi penting, selari dengan dasar ekonomi berasaskan pengetahuan masa kini. Terdapat kebimbangan di kalangan negara Muslim yang pembangunan ekonomi khususnya pertumbuhan inovasi tidak mengikuti syariat Islam. Oleh itu, kajian ini menghipotesiskan yang pelaburan langsung asing (FDI) memberi ‘kebaikan’ kepada negara Muslim dalam mempertingkatkan inovasi. Umumnya, FDI membawa masuk teknologi dan pengetahuan kepada negara tuan rumah. Istilah ‘kebaikan’ merupakan manfaat benar, tepat dan betul yang dapat diperoleh negara Muslim. Selain itu, kajian ini juga mengambil kira ‘kebaikan’ pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan penguasaan bahasa Inggeris kepada aliran masuk FDI dalam mempengaruhi inovasi. Analisis secara deskriptif dan graf digunakan dalam kajian ini dari tahun 2000 hingga 2016. Hasil analisis mendapati inovasi, aliran masuk FDI dan pembangunan ICT menunjukkan trend yang positif sama ada negara Muslim penutur bahasa Inggeris atau tidak. Dengan kata lain, aliran masuk FDI, pembangunan ICT dan penguasaan bahasa Inggeris benar memberi ‘kebaikan’ kepada aktiviti inovasi di negara Muslim. Oleh itu, negara Muslim perlu berusaha meningkatkan keupayaan untuk berinovasi agar ‘kebaikan’ ini dapat dimaksimumkan.