Tinjauan Literatur Pengajaran Kemahiran Bertutur Bahasa Arab
Keywords:
Tinjauan literatur, pendekatan pengajaran, berpusatkan pelajar, bahasa Arab lisan, kemahiran bertuturAbstract
Proses pengajaran kemahiran bertutur bahasa Arab yang berlaku selama ini masih lagi kurang memberikan kesan yang baik kepada penguasaan kemahiran tersebut dalam kalangan pelajar. Justeru itu, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti proses pengajaran kemahiran bertutur bahasa Arab yang telah dikaji dalam kajian lepas dan mengenal pasti metodologi kajian yang digunakan dalam kajian lepas yang berkaitan dengan pengajaran kemahiran bertutur bahasa Arab. Pendekatan kualitatif dan reka bentuk analisis kandungan digunakan dalam kajian ini. Data-data kajian ini diperoleh daripada artikel jurnal, tesis, disertasi, buku, kertas kerja seminar dan prosiding yang berkaitan dengan tajuk kajian. Semua data yang telah dikumpulkan dianalisis secara analisis deskriptif dengan menggunakan perisian ATLAS.ti versi 8.0. Dapatan kajian ini telah menunjukkan bahawa terdapat banyak kajian yang berkaitan dengan pengajaran kemahiran bertutur bahasa Arab dengan menggunakan metodologi kajian yang pelbagai. Namun begitu, masih kurang kajian tentang pengajaran bahasa Arab yang menggunakan pendekatan pengajaran berpusatkan pelajar yang merupakan salah satu ciri pengajaran abad ke-21. Begitu juga dengan metodologi kajian yang digunakan, didapati masih kurang kajian yang menggunakan metodologi kajian campuran kerana kebanyakan kajian-kajian lepas lebih tertumpu pada satu pendekatan sama ada kuantitatif atau kualitatif sahaja. Oleh yang demikian, kajian ini mencadangkan agar pendekatan pengajaran berpusatkan pelajar digunakan dalam pengajaran kemahiran bertutur bahasa Arab dan pendekatan kajian campuran diperluaskan dalam kajian berkaitan dengan pengajaran kemahiran bertutur bahasa Arab.