Amalan Interaksi dalam Kelas Pembelajaran Bahasa Arab Lisan di UKM
Keywords:
Amalan Interaksi Lisan, pemerolehan bahasa asing, bahasa Arab Lisan, analisis perbualanAbstract
Interaksi dalam kelas merangkumi corak komunikasi yang merangkumi lisan dan bukan lisan serta jenis-jenis hubungan sosial yang berlaku di dalam kelas. Komunikasi dalam kelas bukan sahaja sangat kompleks malah merupakan pusat bagi keseluruhan aktiviti kelas. Dalam konteks kelas pembelajaran bahasa asing, komunikasi lisan memainkan peranan yang sangat besar kerana medium dan matlamat pembelajaran, kedua-duanya menjadi input utama kepada para pelajar. Data dikumpulkan melalui dua siri rakaman video kelas pengajaran bahasa Arab Lisan. Kajian ini menggunakan pendekatan analisis perbualan (conversational analysis) dari perspektif emik untuk mengkategorikan jenis interaksi kelas yang dapat menggalakkan proses pembelajaran bahasa asing serta ingin menganalisis kaedah guru membetulkan kesalahan pelajar. Dapatan kajian menunjukkan guru menggunakan maklum balas dan teknik membetulkan kesalahan pelajar yang dapat menggalakkan interaksi lisan antara guru-pelajar dan pelajar-pelajar.