Penguasaan Kata Nama dan Kata Kerja Arab dalam Pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Dini

  • Khatijah Md Khatib
  • Hakim Zainal
Keywords: Penguasaan kata, kosa kata, Bahasa Arab, Kurikulum Bersepadu Dini, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK)

Abstract

Kosa kata ialah elemen penting dalam pembelajaran bahasa, dan kekurangan penguasaan kosa kata memberi impak kepada keupayaan menguasai empat kemahiran bahasa, iaitu menulis, membaca, bertutur dan mendengar. Pembelajaran kosa kata secara eksplisit merupakan satu cara pembelajaran bahasa berkesan. Kajian mendapati pembelajaran kosa kata dalam pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) dilaksanakan secara eksplisit. Objektif kajian ini adalah untuk menganalisis kemampuan pelajar tingkatan satu mengeja, mengetahui makna dan menggunakan kata nama dan kata kerja bahasa Arab yang telah dipelajari di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Negeri Sembilan yang melaksanakan KBD. Kajian kuantitatif ini meneliti aspek-aspek berikut, iaitu penguasaan ejaan yang melibatkan pasangan minimal, kata pinjaman Arab dan aspek mengetahui makna dan penggunaan perkataan turut dikaji. Perkataan yang diuji dipilih berdasarkan kata nama dan kata kerja yang disenaraikan dalam Dokumen Standard Kurikulum (DSK). Kajian tinjauan ini melibatkan 248 responden dalam kalangan pelajar tingkatan satu dari lima buah SABK yang menawarkan subjek al-Lughah al-‘Arabiyyah al-Mu‘asirah. Data kajian diproses dengan menggunakan IBM SPSS versi 23.0. Dapatan kajian menunjukkan tahap penguasaan ejaan pada tahap sederhana dengan skor min penguasaan 10.57. Tahap penguasaan mengetahui makna perkataan juga sederhana dengan skor min penguasaan 10.96. Manakala, tahap penguasaan kemampuan menggunakan perkataan dalam struktur ayat adalah baik, iaitu 11.99. Berdasarkan dapatan kajian, pihak pelaksana boleh mengambil kira aspek kosa kata yang dikaji dalam merencana proses penambahbaikan terhadap pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab.

Published
2019-05-05