Kata Kerja dan Komunikasi Berkesan dalam Kitab Tib Muzium Terengganu Edisi dan Huraian Teks

  • Indirawati Zahid
  • Ab Razak Ab Karim
  • Rohaidah Haron
Keywords: Kitab Tib, Kata Kerja, Hubungan Leksikal, Semantik Leksikal

Abstract

Kitab Tib Muzium Terengganu Edisi dan Huraian Teks ini merupakan sebuah kitab perubatan yang mengusulkan panduan merawat pelbagai jenis penyakit. Panduan dan pengajaran yang diberikan berbentuk arahan kepada pembacanya dengan penggunaan kata kerja yang memperlihatkan proses penyediaan bahan rawatan dan kaedah perawatan. Berasaskan penyataan Gardenfors (2014), kata kerja mempunyai dua peranan utama, iaitu mendeskripsikan bagaimana sesuatu itu telah dan akan berlaku dan keduanya, bagaimana sesuatu itu berlaku atau akan berlaku. Sehubungan itu, kajian ini mempunyai dua objektif, iaitu membincangkan kata kerja dan hubungan leksikal dalam penyediaan bahan dan kaedah perawatan. Analisis semantik leksikal dilakukan pada kata kerja yang menandai cara penyediaan bahan rawatan, iaitu kata “masak” dan kaedah rawatan “sapu/ lumurkan/ dibedakkan/tampalkan/barutkan”. Dapatan analisis memperlihatkan kata “masak” memperlihatkan hubungan leksikal dengan “tanak”, “masak dengan minyak (goreng dan tumis)”, “direndang” dan “rebus” manakala kaedah rawatan “dimakan”, “dimamah”, “diminum”, “disembur” dan “urut”, “ urut’, “gosok” dan “berendam”. Dalam kasus ini, sungguhpun bahasa dan penerangan yang diberikan ringkas, penggunaan kata kerja tersebut masih dapat difahami oleh pembaca kitab. Ditemui juga penggunaan makna kata yang tidak aktif lagi, iaitu kata “rendang, direndang” yang bermaksud digoreng, goreng. Manakala kaedah rawatan, didapati “semburan” selepas dimamah tidak diaplikasi dalam perubatan moden hari ini. Gangguan semantik didapati tidak begitu ketara dalam bahasa yang digunakan kecuali wujudnya nama-nama bahan dan nama-nama penyakit yang kurang diketahui oleh khalayak pembaca khususnya generasi muda hari ini.

Published
2019-10-10