Aliran Madrasah Tilawah: Kajian Terhadap Tokoh-tokoh Qari Mesir Melalui Bacaan Tarannum

Authors

  • Wan Hilmi Wan Abdullah
  • Hamdi Ishak
  • Sabri Mohamad
  • Ahamad Asmadi Sakat

Keywords:

Aliran, Madrasah, Tarannum, tilawah

Abstract

Artikel ini akan menghurai aliran madrasah tilawah bacaan tarannum oleh qari-qari Mesir. Secara umum, tilawah al-Quran bertarannum di Mesir mempunyai pelbagai aliran madrasah tilawah yang diikuti oleh para qari di seluruh dunia termasuk Malaysia. Terdapat beberapa aliran madrasah tilawah yang terkenal di Mesir dalam bidang tarannum al-Quran seperti madrasah Mustafawiyyah, madrasah Husariyyah, madrasah Hassoniyyah, madrasah Ghalwashiyyah, madrasah Rif’at, madrasah Abdul Basit dan lain-lain. Tujuan kajian ini ialah untuk mengenal pasti kewujudan aliran-aliran madrasah tilawah tersebut yang menjadi pelopor utama terhadap kaedah pembacaan tarannum oleh para qari. Kajian ini adalah kajian kualitatif yang memperoleh data daripada sumber dan bahan dokumen, manakala analisis data dilakukan melalui kaedah deskriptif. Hasil kajian merekodkan bahawa terdapat banyak aliran madrasah tilawah melalui pendekatan bacaan tarannum di Mesir yang diasaskan oleh tokoh-tokoh qari seperti Syeikh Mustafa Isma’il, Syeikh Mahmud Khalil al-Husari, Syeikh Muhammad Rif’at dan lain-lain. Aliran-aliran madrasah tilawah ini mempunyai pengikut yang tersendiri dari kalangan para qari bagi membentuk satu model tilawah yang diguna pakai dalam persembahan dan penyampaian bacaan secara tarannum.

Published

2019-05-06