Metodologi Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) dalam Pengislaman Sains di Malaysia

  • Nadia Puri
  • Muhamad Razak Idris
Keywords: Pengislaman ilmu sains, epistemologi, sains Islam, metodologi, sains tabii

Abstract

Pengislaman ilmu sains adalah suatu revolusi epistemologi yang wujud lantaran kesedaran umat Islam untuk keluar dari jajahan pemikiran anasir sekularisme dalam ilmu moden Barat. Pelbagai bentuk metodologi telah dilaksanakan sebagai langkah memperkasakan pengislaman ilmu sains terutamanya dari aspek pendidikan. Metodologi pengislaman ilmu sains ini umumnya digerakkan oleh pelbagai pihak yang mempunyai matlamat untuk melihat idea sains Islam diterima baik dalam arus pendidikan semasa. Meskipun wujud pelbagai gerakan akademik dalam usaha pengislaman sains, namun makalah ini akan memfokuskan tentang metodologi atau kaedah yang telah dilaksanakan oleh Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) sepanjang hampir empat dekad idea islamisasi sains diperkenalkan di Malaysia. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah temu bual penulis bersama tokoh-tokoh ASASI serta pemerhatian penulis menerusi kaedah kajian lapangan. Dapatan kajian menunjukkan kaedah atau metodologi yang dipelopori ASASI adalah gerakan pengislaman ilmu sains yang tertumpu dalam bidang sains tabii seperti logic (mantik), matematik, fizik, kejuruteraan, kimia, perubatan dan ekonomi. Kesemua bidang ilmu ini telah dipelopori oleh tokoh-tokoh sains Islam yang berkaliber dan komited dalam menjayakan gerakan pengislaman ilmu sains. Hasil kajian mendapati metodologi yang diaplikasikan dalam bidang-bidang ilmu tersebut adalah bersifat komprehensif dan telah menunjukkan perkembangan positif dari sudut penerimaan dari kalangan pemikir akademik di peringkat pengajian tinggi Malaysia.

Published
2019-05-06