Kajian Literatur Berkaitan Jenayah Infantisid Menurut Pendekatan Perundangan Malaysia dan Islam

Kajian Literatur Berkaitan Jenayah Infantisid Menurut Pendekatan Perundangan Malaysia dan Islam

  • Aimi Syazana Amir Hassan UKM
  • Wafaa Yusof
Keywords: Infantisid, meroyan, faktor pembunuhan bayi, jenayah, Kanun Keseksaan.

Abstract

Kita dikejutkan dengan pelbagai berita pembunuhan yang menyayat hati dan meruntun jiwa antaranya kes ibu yang disyaki membunuh bayi perempuannya berusia tiga bulan pada 11 September lalu. Berdasarkan pertuduhan tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian anaknya. Bagi kesalahan itu tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan. Seterusnya, kes suspek seorang ibu yang mengalami kemurungan sebelum bertindak mengelar empat anaknya menggunakan pisau dan mengakibatkan bayi lelaki berusia lapan bulan didapati meninggal dunia. Walaubagaimanapun tidak banyak kes-kes yang diputuskan sebelum ini. Malah, dari segi pelaksanaan undang-undang ini masih agak kabur. Ini  kerana,  majoriti kes yang dilaporkan oleh media massa disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan berbeza daripada peruntukan yang sedia ada. Timbul persoalan sejauhmana keberkesanan undang-undang dan pandangan mengenainya dari sudut perspektif fiqh Islam. Analisis terhadap perundangan dilakukan bagi melihat keberkesanan dan kelompangan terhadap kes infantisid serta melihat apakah infantisid dari perspektif fiqh jenayah Islam. Justeru, artikel ini bertujuan meninjau dan mengulas kajian-kajian terdahulu berkaitan dengan infantisid. Bagi mencapai objektif tersebut, tinjauan literatur berhubung masalah ini dilakukan dengan lebih komprehensif. Data yang diperoleh dianalisis secara diskriptif dan dipersembahkan mengikut tema yang bersesuaian. Kajian ini diharapkan dapat memberi penjelasan tentang infantisid menurut Kanun Keseksaan dan fiqh jenayah Islam di Malaysia.

Published
2019-11-17