Pentahkikan Kitab Hadith 40 Terjemahan dan Syarahnya

Authors

  • Ahamad Asmadi Sakat
  • Fadlan Mohd Othman
  • Hamzah Jummat

Keywords:

Kitab hadith 40, terjemahan, hadith, syarah

Abstract

Kewujudan kitab-kitab agama yang ditulis dalam bahasa Melayu di Alam Melayu, sangat berharga bagi masyarakat Islam di Malaysia khasnya dan Nusantara amnya, terutamanya yang masyhur dan masih dimanfaatkan masyarakat kerana ia menjadi sumber bacaan bagi golongan yang tidak dapat memahami bahasa Arab. Salah satu daripada kitab-kitab tersebut ialah kitab Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahnya) karangan Mustafa ?Abdul Rahman terbitan Dewan Pustaka Fajar. Walau bagaimanapun, kitab-kitab warisan ilmiah seperti ini perlu melalui pentahkikan yang bersifat menyeluruh agar penyampaian ilmu agama yang benar dan betul dapat disalurkan kepada masyarakat. Pentahkikan dapat melonjakkan nilai ilmiah kitab-kitab ini, menolak sebarang keraguan padanya dan memberi nilai tambah kepada kandungannya malah diyakini akan mengukuhkan lagi kedudukannya serta menjadikannya lebih berautoriti. Pentahkikan yang dimaksudkan dalam konteks tulisan ini bukan tertumpu kepada karya dalam bentuk manuskrip ataupun usaha mengalihkannya daripada versi Jawi kepada versi Rumi mahupun pengubahsuaian bahasa daripada susunan bahasa Melayu lama kepada bahasa Melayu moden, malah pentahkikan yang bersifat menyeluruh, menganalisis setiap fakta dan ulasan yang dikemukakan pengarang asal. Tulisan ini menyorot kitab Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahnya) sebagai contoh kepada kitab-kitab khazanah Alam Melayu dan sudut-sudut analisis yang selayaknya dilakukan dalam pentahkikan terhadapnya. Ini bertepatan dengan usaha memulihara pusaka bangsa agar terus kekal dimanfaatkan ummah dan dengan harapan warisan ilmiah Melayu dapat dilestarikan.

Published

2019-10-10