Pemartabatan ‘Realiti’ dan ‘Realisme’ ke Status Konvensi Sastera dalam Kesusasteraan Melayu

Authors

  • Ungku Maimunah Mohd. Tahir
  • Washima Che Dan

Keywords:

realisme, realiti, naratif, konvensi sastera, Persuratan Baru

Abstract

Apabila R.J. Wilkinson, pentadbir dan sarjana Inggeris, menobatkan Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi sebagai bapa kesusasteraan Melayu moden dengan hujah bahawa tulisan Abdullah berlegar pada realiti kehidupan seharian masyarakat dewasa itu, lantas sastera Melayu menyaksikan kemasukan idea realiti dan realisme sebagai satu fahaman tentang penulisan. Antara ciri yang dikaitkan dengan realisme ialah tumpuan naratif kepada perkara bobrok, khususnya kebejatan moral, watak pinggiran dan kerdil, rincian sebagai alat pengisahan dan bahasa rendah serta kasar. Dalam konteks sastera Melayu moden, ciri-ciri realisme tersebut memainkan peranan penting dalam mencorakkan perkembangan novel dan cerpen. Antara sebab realisme serta ciri-cirinya itu diterima dan dipertahankan oleh penulis dan pengkritik tempatan ialah iklim sastera Melayu yang jelas memihak kepada penggunaan realisme di satu pihak, dan penilaian positif terhadap pemanfaatannya di pihak yang lain. Kedudukan realisme seterusnya mendapat pengabsahan ampuh apabila diperkukuhkan oleh laporan Panel Anugerah Sastera Negara, iaitu penapis tertinggi negara dalam hal-ehwal sastera. Justeru, objektif kajian ini adalah untuk meneliti perihal pemartabatan ‘realiti’ dan ‘realisme’ ke status konvensi sastera dalam kesusasteraan Melayu. Penulisan ini bersifat kajian kualitatif dengan Persuratan Baru cetusan Mohd. Affandi Hassan sebagai kerangka dan dasar analisis dalam mengetengahkan realisme sebagai konvensi sastera dalam kesusasteraan Melayu. Kajian ini secara yakin berupaya mencabar paradigma Barat yang mengutamakan realisme dalam karya kreatif. Contoh manifestasi realisme dapat dilihat dalam karya kreatif Melukut Kota yang memperagakan kebejatan moral, watak sub-sosial serta penggunaan bahasa kasar, yang semuanya menepati tuntutan realisme dan dikatakan melahirkan karya yang realistik. Dapatan kajian ini menghujahkan bahawa kelanjutan pemanfaatan realisme dalam kalangan penulis kreatif dan pengkritik dengan mudah menjadikan realisme sebagai konvensi sastera yang sah, wajar dimanfaatkan dan terjamin daripada sanggahan dan pertikaian. Walaupun sudah mencapai tahap konvensi sastera, realisme dipertikaikan oleh Gagasan Persuratan Baru cetusan Mohd. Affandi Hassan yang membezakan antara cerita dan ilmu, memberi prioriti kepada ilmu yang benar, menolak kebobrokan sebagai tumpuan naratif, mengetengahkan watak besar sebagai corong idea bernas dan bermakna, serta menggunakan bahasa tinggi dan indah sebagai manifestasi seni.

Published

2019-07-26