Relevansi Tasawuf dan Pembangunan Rohani Insan: Satu Sorotan Awal

  • Safiah Abd Razak
  • Che Zarrina Sa’ari
  • Syed Mohammad Hilmi Syed Abdul Rahman
Keywords: Relevansi, Tasawuf, Pembangunan Rohani

Abstract

Pembangunan rohani insan merupakan antara topik penting dalam agenda pembangunan ummah hakiki. Kealpaan dan kelalaian masyarakat Islam terhadap pembangunan rohani akan mengundang pelbagai permasalahan dalam kehidupan manusia sejagat. Rohani yang lemah, pincang dan penuh kekotoran akan melahirkan individu masyarakat yang lemah imannya, buruk peribadinya malah menimbulkan pelbagai kerosakan dalam masyarakat. Pendek kata pembinaan tamadun dan peradaban manusia yang berteraskan kekuatan iman dan keteguhan akhlak tidak akan mampu dicapai sekiranya aspek rohani diabaikan. Ilmu tasawuf dilihat sebagai jalan dan kaedah terbaik bagi mencapai matlamat membangun rohani memandangkan ilmu tasawuf merupakan satu ilmu yang memberi tumpuan dan penekanan utama kepada aspek penyucian dan pembersihan hati manusia. Ulama tasawuf semenjak dahulu berusaha mendidik dan membentuk masyarakat agar bersih rohaninya, benar tawhidnya dan mulia akhlaknya melalui metodologi dan pendekatan tasawuf. Kajian ini bertujuan untuk melihat sejauhmanakan relevensi ilmu tasawuf dalam membangunkan aspek jiwa atau rohani manusia yang dilihat sebagai tunjang utama pembangunan manusia seluruhnya. Kajian ini menggunakan metode kepustakaan. Data-data yang diperolehi telah dianalisis secara kritis bagi mencapai objektif kajian ini. Hasil kajian mendapati disiplin ilmu tasawuf dilihat releven dan memainkan peranan yang besar dalam membantu membangunkan insan semenjak dahulu hingga hari ini. Penekanan tasawuf terhadap usaha tarbiyyah kerohanian dengan meletakkan pelbagai garis panduan dan kaedah seperti berzikir kepada Allah boleh menanam kekuatan dalaman dan menjadi sumber nilai yang kuat untuk dijadikan panduan hidup. Kaedah pengikisan sifat mazmumah, penerapan sifat mahmudah, berakhlak dan mempunyai hubungan yang baik sesama makhluk dapat membentuk insan sejati yang diredai Allah dan seterusnya mampu memberikan kesejahteraan dan keharmoniaan dalam kehidupan manusia sejagat. Konsep pembangunan rohani berasaskan pendekatan tasawuf ini mampu menjadi salah satu alternatif dalam usaha membangunkan manusia masa kini.

Published
2019-05-06