Pendekatan Konsep Tabayyun dalam Isu Falak Kontemporari

  • Roslan Umar
  • Syed Mohd Hafiz Syed Omar
  • Nor Hazmin Sabri
  • Nur Athirah Ahmad Fashil @ Ahmad Fazil
Keywords: Tabayyun, khabar ahad, berita palsu, falak

Abstract

Saban hari berita palsu berkaitan dengan isu-isu falak kontemporari semakin berleluasa dan tersebar meluas dalam kalangan masyarakat Malaysia. Jesteru itu, artikel ini bertujuan mengenal pasti konsep tabayyun dalam al-Quran dan menyelidik konsep tabbayyun yang dipraktikkan oleh iman Shafi‘i untuk diaplikasikan dalam menangani isu-isu ini. Islam telah lama menyarankan kaedah tabayyun sebagai panduan apabila menerima sebarang berita seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 6. Para ulama Islam menggunakan pendekatan tabayyun dalam setiap bidang ilmu sama ada dalam pembelajaran, pengajaran atau penulisan. Imam Shafi‘i merupakan seorang ulama yang tersohor dan sangat menekan penelitian dalam bidang hadis sehingga beliau digelar sebagai Penolong Sunnah ‘Nashir al-Sunnah’ atau pembela sunnah ‘Multazim al-Sunnah’. Imam Shafi‘i telah meletakkan syarat-syarat yang ketat dalam menerima perawi khabar Ahad bagi menjaga dan mengelak sebarang penyelewengan dalam hadis nabi Muhammad SAW. Artikel ini hanya akan mencadangkan konsep tabayyun berdasarkan al-Quran dan pendekatan tabayyun oleh imam Shafi‘i dalam penerimaan khabar ahad sebagai satu alternatif bagi menyelesaikan isu-isu ini.

Published
2019-05-05